JANUARI 2022

Kerajaan Sarawak & Petronas Terus Berusaha Penuhi Hasrat Selaras Dengan Perjanjian Penyelesaian Komersial


KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Petronas akan terus berusaha untuk mencari jalan terbaik bagi memenuhi hasrat seperti yang telah dimaterai dalam Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, isu-isu yang memerlukan libat urus dan penyelesaian bersama dapat dicapai, manakala terdapat juga isu-isu yang memerlukan penyelesaian dalam jangka masa panjang.

Jelasnya, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk merangka strategi dan melaksanakan program bagi meningkatkan penyertaan syarikat di Sarawak menerusi kontrak yang ditawarkan oleh pihak Petronas.

“Dalam masa yang sama, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meningkatkan bilangan vendor Sarawak dalam ‘Vendor Development Program’ (VDP) bagi meningkatkan kapasiti vendor-vendor dari Sarawak.

“Ini adalah untuk memastikan industri minyak dan gas akan dapat memberi manfaat kepada usahawan, vendor dan seterusnya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Petronas, Tan Sri Dato’ Sri Mohd Bakke Salleh dan Presiden Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz di Wisma Sumber Alam, pada Rabu.

Mengulas mengenai pemanjangan tempoh bagi kontrak perkongsian pengeluaran (PSC), Datuk Amar Awang Tengah menambah, Kerajaan Negeri melalui Petros bekerjasama dengan pihak Petronas untuk kerjasama yang mampan sekligus mendapat hasil yang saksama bagi kedua belah pihak.

Beliau turut memaklumkan, kunjungan Petronas kali ini mencerminkan komitmen yang jitu terutamanya bagi pihak Petronas dalam merealisasikan tindakan susulan diambil sewajarnya selaras dengan kehendak CSA di antara Kerajaan Sarawak dan Petronas. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS